disabled

Wednesday, December 9, 2015

Baja organik, baja kimia mana lebih baik?

Persoalan yang biasa kita dengar, yang mana lebih baik? baja organik atau kimia? Persoalan ini sentiasa jadi perbahasan oleh yang lebih berpengalaman. Jika boleh ditanya pada tanaman kita sendiri pun mungkin tiada jawapan yang tepat, pokok hanya memerlukan nutrien yang mencukupi.

Terdapat perbezaan antara penggunaan baja organik dan juga kimia pada tanaman. Ia disebut dari segi kandungan nutrien, kesan penggunaan jangka masa panjang terhadap tanaman, medium dan juga persekitaran. 

Baja Organik

Organik bermaksud bahan yang melalui proses pada tahap paling minimum, nutrien diurai secara natural. Baja organik kebiasannya diperbuat dari bahan terbuang dari sumber tumbuhan ataupun haiwan, kompos, juga mineral dalam bentuk serbuk. Contoh baja organik adalah seperti tinja haiwan, ikan dan tulang yang telah diproses dalam bentuk serbuk. Ia kebiasaanya disebut sebagai penyubur tanah berbanding baja kerana ratio nutriennya tidak dapat diukur secara tepat.


Kelebihan baja organik

1) Selain membekalkan nutrein, baja organik bersifat menyuburkan struktur tanah, meningkatkan kemampuan memegang kandungan air dan juga nutrein pada tanah. Dalam jagka masa panjang, baja organik akan membuatkan medium dan pokok sihat dan kuat.

2) Memandangkan ianya jenis "slow-release" maka agak sukar untuk berlakunya terlebih baja yang akan merosakkan tanaman.

3) Risiko terhasilnya toksik pada tanaman adalah sangat rendah.

4) Baja organik lebih mesra alam.

5) Walaupun baja organik yang terjual di pasaran lebih mahal harganya berbanding baja kimia, terdapat pilihan lain untuk baja organik seperti menghasilkan kompos, atau bahan-bahan dari dapur.

Kekurangan baja organik

1) Mikroorganisma diperlukan untuk menguraikan nutrein. Mikrooganisma memerlukan keadaan lembap dan suam, oleh itu baja organik bergantung kepada keadaan yang sesuai untuk diuraikan oleh mikroorganisma.

2) Baja organik tidak akan memberikan hasil secepat yang kita mahukan, perlu menunggu lebih kurang sebulan untuk melihat hasilnya.

3) Ratio nutrien tidak diketahui, kebiasaannya lebih rendah dari baja kimia. Namun sesetengah baja organik memiliki nutrien tertentu yang lebih tinggi.

Baja kimia

Baja kimia adalah baja yang telah diproses bersama bahan kimia yang lain dan ditetapkan ratio nutriennya. Ia mungkin terdiri dari batuan, petroleum dan malah ada sumber organik.


Kelebihan baja kimia

1) Memandangkan nutrien terurai dengan cepat, kesan pada tanaman dapat dilihat dalam masa beberapa hari.

2) Ia telah dianalisis dan ditetapkan kadar nutrien seperti yang tanaman perlukan. Ratio nutrien yang dilabel lebih mudah difahami.

3) Kebiasannya ia tidak mahal.

Kekurangan baja kimia

1) Baja kimia kebiasannya diperbuat dari sumber yang tidak boleh diperbaharui.

2) Baja kimia membantu pertumbuhan pokok tetapi tidak pada tanah. Kandungan baja kimia tidak membantu kesuburan tanah, walaupun pakej menyatakan ia mengandungi nutrein yang lengkap. Baja kimia tidak dapat menggantikan kebanyakan TE (trace elements) yang akan memberi kesan mengganggu kesuburan tanah dalam jangka masa panjang.

3) Oleh kerana nutrien sudah tersedia, terdapat risiko terlebih pembajaan dimana ia tidak membunuh tanaman serta merta tetapi merosakkan seluruh ekosistem.

4) Penggunaan yang kerap akan memberi kesan penghasilan toksik seperti arsenic, cadmium dan uranium pada tanaman. Toksik tersebut boleh melalui buah-buahan dan juga sayuran.

5) Penggunaan baja kimia dalam jangka masa yang lama akan mengubah pH tanah, mengurangkan ekosistem microb bermanfaat, meningkatkan kehadiran serangga perosak malah boleh menghasilkan kesan rumah hijau.

Membuat pilihan

Pilihan adalah terpulang pada individu, jika mahukan yang lebih mesra alam, individu tersebut perlu memilih penggunaan baja organik. Walaubagaimanapun, sedikit penggunaan baja kimia akan membuatkan pokok bunga berbunga dengan lebih banyak dari biasa, pokok mangga berbuah dengan banyak sehingga boleh dikongsi bersama jiran-jiran. Hanya perlu memahami apa yang berlaku dan juga kesan, jadi kita akan lebih bijak membuat keputusan. :)


No comments:

Post a Comment